Setiap orang pasti ada masalah dan sering berhadapan dengan tekanan tidak kira tentang masalah peribadi, keluarga, tekanan tempat kerja dan juga persekitaran. Namun harus diingat bahawa semua itu adalah dugaan dan cabaran yang diberikan kepda kita. Allah itu Maha Agung, Maha berkuasa dan mengetahui apa yang berlaku kepada umatnya. Kita sebagai umatnya yang menghuni dan menumpang di atas muka bumi ini perlu bersabar menerima dugaan yang ditetapkan di atas muka bumi ini.
Walau sesukar mana pun dan sebesar mana pun halangan yang diturunkan kepada kita, ingatlah bahawa Allah itu menyayangi kita. Banyakkan berdoa kepadaNya. Mohon supaya dipermudahkan segala urusan dan dilancarkan segala urusan kerja. Sentiasa bersyukur dengan apa yang kita nikmati sekarang ini kerana tidak semua yang kita miliki akan kekal selamanya.
Bila kita rasa hilang arah tujuan, kembali kepadaNya. Muhasabah kembali tentang apa yang berlaku. Fikirkan secara mendalam tentang apa berlaku. Sekadar renungan dan ingatan daripada saya...
Tuesday, October 12, 2010
Monday, October 11, 2010
Waja Lancer?
PROTON WAJA BARU 2010 muncul dalam rancangan TV3. PROTON WAJA BARU ini dikenali sebagai P390A dimana rekabentuknya diambil dari Mitsubishi Lancer baru. Kereta PROTON WAJA BARU ini juga terdapat dalam transmisi automatik dan juga manual. Kerjasama antara Proton dan Mitsubishi telah menghasilkan sebuah kereka yang lain daripada yang lain.
Sunday, October 10, 2010
Bahasa Melayu Kian Pudar
Sekadar melontarkan pendapat dan berkongsi pandangan tentang penggunaan Bahasa Melayu sekarang. Jika dilihat secara keseluruhan, penggunaan Bahasa Melayu semakin pudar malah rakyat Malaysia semakin mengagung-agungkan penggunaan Bahasa Inggeris. Memang tidak dinafikan bahawa di zaman moden ini sangat perlu bagi kita untuk mempelajari dan menguasai Bahasa Inggeris kerana ianya bahasa yang digunakan untuk berkomunikasi dengan orang yang pelbagai. Tetapi penggunaan Bahasa Melayu dilihat kurang dipraktikkan. Mengapa dan Kemana hilangnya identiti Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara?
Jika diperhatikan zaman sekarang ini, anak-anak kecil sudah fasih berbahasa Inggeris. Memang tidak salah, bahkan sangat bagus untuk mereka bila dewasa kelak. Akan tetapi, yang menjadi masalahnya adalah, setelah fasih berbahasa Inggeris, mereka ini pula langsung tidak pandai bercakap dalam Bahasa Melayu walhal keluarganya berketurunan Melayu. Kadang-kala mereka ini langsung tidak faham jika ada orang bertutur dengannya dalam Bahasa Melayu. Kenapa hal ini boleh terjadi?
Anak kecil itu tidak bersalah tapi yang mendidik mereka perlu prihatin. Sayangnya jika anak Melayu tidak tahu berbahasa Melayu. Hilanglah identiti Melayu jika perkara ini dibiarkan sahaja. Ibu bapa merupakan orang yang berperanan penting dalam mendidik anak-anak. Didiklah anak-anak kamu mengenali identiti dan budaya Melayu. Yang paling utama, terapkan diri mereka dengan Bahasa ibunda, biarkan mereka mengenali siapa diri mereka yang sebenarnya. Janganlah terlalu mendidik anak-anak dengan budaya 'mat saleh'. Kita tinggal di Malaysia bukannya di luar negara. Boleh sekiranya hendak ajar anak berbahasa Inggeris, tetapi janganlah sampai hilang penguasaan terhadap Bahasa Melayu. Jadikanlah Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua. Utamakan Bahasa melayu.
Akhir kata, sama-samalah kita memartabatkan bahasa ibunda kita iaitu Bahasa Melayu. Jika bukan kita semua siapa lagi? Kita kekalkan warisan dan tradisi Kemelayuan. Jangan biarkan bahasa penjajah menjajah minda dan cara hidup kita. Bahasa Melayu perlu diteruskan akan agar 'tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas'. Hidupkan kembali Bahasa Melayu.
Saturday, October 9, 2010
Bernilainya Setitik Peluh Abah
Kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anak tidak berbelah bahagi. Setiap kemahuan si anak akan dituruti oleh ibu dan ayah. Namun, adakah kita bersyukur dan sedar bahawa betapa sukarnya mereka untuk membesarkan kita sebagai anak. Memang benar syurga itu di bawah tapak kaki ibu tapi bagaimana dengan si ayah? Pernahkah kalian semua berfikir siapa yang bekerja keras untuk menanggung kehidupan seharian kalau bukan ayah. Mereka lah yang memerah keringat, membanting tulang, berpanas, berhujan semata-mata untuk memberi anak makanan, kemewahan dan keselesaan.
Namun, adakah si anak bersyukur dengan semua itu. Bagi golongan berada mereka mungkin tidak kisah akan perkara ini. tapi bagi golongan yang miskin dan sederhana, setiap hasil yang diperolehi dihargai dengan sepenuhnya. Saya sangat bersyukur dilahirkan dalam golongan miskin. Saya tahu setiap penat dan lelah abah dalam membesarkan keluarga kami. Setiap kali terbayangkan wajah abah yang semakin berusia, dadaku sebak, airmata akan mengalir tiba-tiba kerana terbayangkan keadaan abah yang semakin berusia tapi masih gagah membanting tulang, berjemur di tengah panas bekerja sebagai buruh binaan semata-mata untuk memberi kami sesuap nasi. Setiap upah yang diperolehi digunakan sebaik mungkin untuk menampung tujuh adik yang masih bersekolah.
Abah seorang yang sabar, tabah dan bekerja keras. Dia tidak pernah berputus asa mencari rezeki membesarkan kami sekeluarga. Abah pernah berpesan:
"Kamu jangan jadi macam abah, tak ada pelajaran, kerja buruh. Biarlah abah seorang yang susah begini tapi abah nak tengok anak-anak abah berjaya semua, kelak dapat kerja bagus-bagus. Tolong Ma dan adik-adik kalau abah dah tak ada kelak. Kamu biar jadi contoh kepada adik-adik."
Kata-kata abah itu menjadi perangsang buat saya sehingga kini. Bila terkenang kembali peristiwa dulu memang sukar digambarkan. Apa yang saya mahukan tak pernah dapat dan saya tidak sanggup untuk meminta dengan abah kerana saya tahu abah tak mampu untuk menyediakannya. Tidak seperti anak-anak sekarang, jika mahukan sesuatu terus minta dengan mak dan ayah lantas segera disediakan oleh mak dan ayah yang sayangkan anak. Anak-anak sekarang terlalu dimanjakan sehinggakan tidak mampu untuk berdikari sendiri.
Kami diasuh untuk berdikari, saya tidak berpeluang untuk bermanja dengan ma dan abah. Biarlah adik-adik yang mendapat perhatian lebih kerana mereka masih kecil. Saya terima keadaan ini kerana saya tahu tanggungjawab saya sangat besar dan perlu berkorban untuk keluarga. Walaupun kami susah, abah tidak pernah meminta sedekah, sebaliknya dia akan berusaha sendiri untuk memastikan anak-anaknya mendapat keperluan yang cukup. Kini abah sudah berumur 52 tahun, sampai bila abah mampu teruskan bekerja sebagai buruh untuk tampung lapan ahli keluarga? Kadang-kala, kita teringin sangat hendak tolong abah cari rezeki, tapi apa kerja akan diperolehi sekiranya tiada kelayakan...Zaman sekarang pemegang diploma masih tidak layak untuk memdapat kerja yang bagus, sebab itu la abah berpesan supaya habiskan ijazah. Rasa bersalah timbul kerana terpaksa biarkan abah bersusah payah cari duit untuk tampung kos perbelanjaan di universiti. Dengan azam dan semangat yang dibekalkan, saya teruskan juga menyahut seruan abah.
Wahai rakan-rakan sekalian, mungkin anda tidak pernah merasai kepayahan dan kesulitan yang saya alami tetapi saya menyeru kalian semua supaya menghargai setiap hasil titik peluk ibu dan bapa yang memberikan kemewahan dan keselesaan hidup di rumah yang cantik dan besar. Jangan sia-siakan peluang untuk belajar bersungguh-sungguh. Jangan fikir duit banyak boleh belajar kat luar negara sekiranya gagal. Beringatlah bahawa Allah itu Maha Berkuasa dan Dia mampu menarik balik setiap kemewahan yang diberikan. Sentiasalah bersyukur dengan kemewahan ibu dan ayah berikan.
Tidak semua orang bernasib baik dapat menyambung pelajaran ke universiti. Bagi golongan seperti saya yang kurang berkemampuan, setiap sen yang diberikan oleh mak dan ayah sangat tinggi nilainya. Sekiranya kami gagal, kami tak akan mampu untuk teruskan belajar. Hargailah setiap peluang yang ada dan sentiasa bersyukur dikurniakan rezeki yang halal walaupun sedikit kerana keberkatan itu sangat penting untuk mendapat kesejahteraan hidup suatu hari nanti.
Thursday, September 30, 2010
Sahabat
Apakah ciri-ciri seorang sahabat yang baik?
Seorang bijak pandai berpesan kepada anak lelakinya: “Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:
- Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu;
- Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu;
- Jika engkau memerlu pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu;
- Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik;
- Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu;
- Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya;
- Jika engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya;
- Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), dia akan menanyakan kesusahan kamu;
- Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu;
- Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu;
- Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu;
- Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan;
- Dia membantumu menunaikan tanggungjawab serta melarang melakukan perkara buruk dan maksiat;
- Dia mendorongmu mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.
Sebagai remaja yang terlepas daripada pandangan ayah ibu berhati-hatilah jika memilih kawan. Kerana kawan, kita bahagia tetapi kawan juga boleh menjahanamkan kita.
Hati-hatilah atau tinggalkan sahaja sahabat seperti dibawah:
- Sahabat yang tamak: ia sangat tamak, ia hanya memberi sedikit dan meminta yang banyak, dan ia hanya mementingkan diri sendiri.
- Sahabat hipokrit: ia menyatakan bersahabat berkenaan dengan hal-hal lampau, atau hal-hal mendatang; ia berusaha mendapatkan simpati dengan kata-kata kosong; dan jika ada kesempatan membantu, ia menyatakan tidak sanggup.
- Sahabat pengampu: Dia setuju dengan semua yang kamu lakukan tidak kira betul atau salah, yang parahnya dia setuju dengan hal yang dia tidak berani untuk menjelaskan kebenaran, di hadapanmu ia memuji dirimu, dan di belakangmu ia merendahkan dirimu atau mengkhianati amanahmu. Bila telah di percayai, dia khianati. Bila telah di cintai, dia dustakan.
- Sahabat pemboros dan suka hiburan: ia menjadi kawanmu jika engkau suka berpesta, suka berkeliaran dan ‘melepak’ pada waktu yang tidak sepatutnya, suka ke tempat-tempat hiburan dan pertunjukan yang melalaikan.
- Sahabat yang membawamu semakin jauh dari Allah. Seorang yang tidak menambah kebajikanmu di dunia, lebih2 lagi di akhirat. Seorang yang tidak menambah manfaat kehidupanmu di akhirat, bukanlah temanmu yang sebenar.
Hati-hatilah memilih kawan, kerana kawan boleh menjadi cermin peribadi seseorang. Berkawanlah kerana Allah untuk mencari redha-Nya.
Monday, September 27, 2010
Animasi Jepun paling bahaya untuk tontonan kanak-kanak
Menurut laporan yang disiarkan Metro, September 28, 2010
Filem Animasi Jepun adalah antara DVD yang dikesan paling bahaya untuk ditonton oleh kanak-kanak di negara ini kerana mempunyai unsur negatif yang boleh merosakkan minda. Pengerusi Lembaga Penapis Filem (LPF), Datuk Mohd Hussain Shafie berkata, ramai masyarakat di negara ini tidak mengetahui mengenai bahaya sesetengah cerita filem animasi kerana kurang peka terhadap kandungan DVD dan beranggapan ia hanya sebuah cerita rekaan seperti kartun yang sesuai untuk kanak-kanak.
Banyak cerita animasi dari Jepun diharamkan kerana walaupun ia adalah cerita animasi yang dikatakan sesuai untuk golongan kanak-kanak tetapi ia tetap lebih kepada golongan dewasa. Ada antara kandungan cerita itu memaparkan animasi wanita dengan pakaian singkat, membuka dada dan beberapa adegan yang tidak elok untuk ditontoni oleh golongan kanak-kanak.
Mohd Hussain bagaimanapun berkata, sikap segelintir ibu bapa atau penjaga yang terlalu mengambil mudah dan menggantikan kesibukan masa mereka untuk anak-anak dengan membelikannya pemain VCD dan cerita-cerita animasi untuk tontonan, menyebabkan ramai kanak-kanak yang masih terdedah menonton animasi yang boleh merosakkan minda. Apa yang terbaik adalah ibu bapa atau penjaga itu sendiri mengawal dan menjaga apa yang ditontoni anak-anak mereka.
Saranan saya disini ialah, ibu bapa perlu peka dengan keadaan sekeliling. Biar sibuk manapun bekerja tapi luangkan lah walau sedikit masa bersama anak-anak. Jangan biarkan mereka terlalu leka menonton animasi seperti demikian. Sayang sekali jika minda anak-anak kecil ini rosak kerana mereka sepatutnya didedahkan dengan pengetahuan yang bermanfaat.
Cili - Raja Segala Ubat?
Tahukah anda, lebih dari 3,000 kajian saintifik dinyatakan di dalam US National Library of Medicine, menyokong penggunaan cili dalam mencegah dan melegakan banyak penyakit umum. Cili juga dinyatakan di dalam world pharmacopoeias (senarai ubat rasmi). Menurut American physicians Desk Reference, beberapa jenis ubat juga mengandungi ramuan yang dibuat daripada cili. Apa yang menariknya disini, cili didapati dapat mencegah pelbagai penyakit kronik seperti kanser, penyakit jantung, angin ahmar, bekuan darah, obesity, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, bronkitis, emfisema, batuk, selsema dan radang perut. Bukan sahaja dalam bidang perubatan tetapi turun digunakan juga sebagai perasa makanan, rempah dan ubat herba selama lebih dari 9000 tahun. Dipercayai cili dikatakan baik untuk buah pinggang, limpa, pankreas, paru-paru dan jantung. Ketika era Victoria, cili digunakan sebagai agen pemanasan dalam mengubati arthritis, kesejukan, rheumatism, terseliuh dan depresi. Untuk pengetahuan anda sekalian, sekitar 12 peratus daripada cili terdiri daripada capsaicin, iaitu sebatian yang membuatkan rasanya pedas. Capsaicin adalah komponen utama sifat ubat yang ada pada cili. Bukan itu sahaja, kebanyakan ubat penahan sakit komersial mengandungi capsaicin. Pendengar sekalian rupa-rupanya banyak kebaikan cili, cuma kita yang tidak menyedarinya. Berdasarkan artikel yang disiarkan di Consumers Association of Penang atau CAP. Oleh kerana cili secara semulajadinya mengandungi "capsaicin", ia juga boleh digunakan untuk melegakan kesakitan, pening kepala atau ketidak selesaan badan yang biasa. Lupakan panadol seketika dan cubalah nikmatilah makanan pedas untuk melegakan kesakitan. Sifat utama cili yang pedas itu secara tidak langsung merangsang pelepasan hormon endorfin iaitu hormon "Feel Good" di otak, secara langsung menyebabkan kita merasa selesa, tenang dan gembira.(Mood Enhancer). Cili segar mengandungi dua kali ganda Vitamin C berbanding Oren dan Nenas. Memiliki sifat anti oksidan yang tinggi iaitu agen penghalang kanser. Merangsang peredaran dan memperbaiki peredaran darah di dalam badan selain membantu dalam penurunan berat badan dimana ia dpt membakar lapisan lemak berlebihan dalam badan. Mulai sekarang para pendengar sekalian tidak perlu risau lagi untuk menikmati makanan yang pedas, ia sebenarnya baik untuk kesihatan.
Subscribe to:
Posts (Atom)




