Tuesday, August 23, 2011

KISAH BUDAK PENJUAL KUIH


Hati saya sangat tersentuh apabila membaca kisah adik ini didalam Facebook syahirul.com. Kagum dengan semangat dan sikapnya yang tidak putus asa membuatkan saya terpanggil untuk sama-sama berkongsi kisah ini dengan kawan-kawan sebagai renungan dan pengajaran kepada kita semua. Ikuti Kisah Adik Penjual Kuih ini dibawah.

Cerita Oleh syahirul.com

Hari itu selepas seminggu beraya di kampung, saya pulang ke Kuala Lumpur. Memikirkan highway PLUS sibuk, saya menyusuri laluan lama. Pekan pertama yang saya lintas ialah Teluk Intan. Terasa mengantuk, saya singgah sebentar di sebuah restoran di pinggir pekan itu. Sebaik memesan makanan, seorang kanak-kanak lelaki berusia lebih kurang 12 tahun muncul dihadapan.

"Abang nak beli kuih?" katanya sambil tersenyum. Tangannya segera menyelak daun pisang yang menjadi penutup bakul kuih jajaanya.

Tak apalah dik... Abang dah pesan makanan," jawap saya ringkas.

Dia berlalu. Sebaik pesanan tiba, saya terus menikmatinya. Lebih kurang 20 minit kemudian saya nampak kanak-kanak tadi menghampiri pelanggan lain, sepasang suami isteri agaknya. Mereka juga menolak, dia berlalu begitu saja.


"Abang dah makan, tak nak beli kuih saya?" katanya selamba semasa menghampiri meja saya.

"Abang baru lepas makan dik. Masih kenyang lagi ni," kata saya sambil menepuk-nepuk perut.

Dia beredar, tapi cuma setakat di kaki lima. Sampai di situ, di meletakkan bakulnya yang masih sarat. Setiap yang lalu ditanya, "Tak nak beli kuih saya bang, pak cik, kakak atau makcik?"

Molek budi bahasanya! Mamak restoran itu pun tidak menghalang dia keluar masuk ke premisnya bertemu pelanggan. Sambil memerhati, terselit rasa kagum dan kasihan di hati saya melihatkan betapa gigihnya dia berusaha. Tidak nampak langsung tanda-tanda putus asa dalam dirinya, sekalipun orang yang ditemuinya enggan membeli kuihnya.

Selepas membayar harga makanan dan minuman, saya terus beredar ke kereta. Kanak-kanak itu saya lihat berada agak jauh di deretan kedai yang sama. Saya buka pintu, membetulkan duduk dan menutup pintu. Belum sempat saya menghidupkan enjin, kanak-kanak tadi berdiri di tepi kereta. Dia menghadiahkan sebuah senyuman. Saya turunkan cermin, membalas senyumannya.

"Abang dah kenyang, tapi mungkin abang perlukan kuih saya untuk adik-adik abang, ibu atau ayah abang." katanya petah sekali sambil tersenyum. Sekali lagi dia mempamerkan kuih dalam bakul dengan menyelak daun pisang penutupnya.

Saya tenung wajahnya, bersih dan bersahaja. Terpantul perasaan kesian di hati. Lantas saya buka dompet, dan menghulurkan sekeping not merah RM10. Saya hulurkan padanya.

"Ambil ni dik! Abang sedekah. Tak payah abang beli kuih tu," Saya berkata ikhlas kerana perasaan kasihan meningkat mendadak. Kanak-kanak itu menerima wang tersebut, lantas mengucapkan terima kasih terus berjalan kembali ke kaki lima deretan kedai. Saya gembira dapat membantunya. Setelah enjin kereta saya hidupkan, saya mengundur. Alangkah terperanjatnya saya melihat kanak-kanak itu menghulurkan pula RM10 pemberian saya itu kepada seorang pengemis yang buta kedua-dua matanya.

Saya terkejut, lantas memberhentikan semula kereta, memanggil kanak-kanak itu.

"Kenapa bang nak beli kuih ke?" tanyanya.

"Kenapa adik berikan duit abang tadi pada pengemis tu? Duit tu abang bagi adik!" Kata saya tanpa menjawap pertanyaannya.

"Bang saya tak boleh ambil duit tu. Mak marah kalau dia dapat tahu saya mengemis. Kata mak kita mesti bekerja mencari nafkah kerana Allah berikan tulang empat kerat pada saya. Kalau dia tahu saya bawa duit sebanyak itu pulang, sedangkan jualan masih banyak, mak pasti marah. Kata mak, mengemis kerja orang yang tak berupaya, saya masih kuat bang!" katanya begitu lancar.

Saya sebak, sekaligus kagum dengan pegangan hidup kanak-kanak itu. Tanpa banyak soal saya terus bertanya berapa semua harga kuih dalam bakul itu.

"Abang nak beli semua ke?" Dia betanya dan saya cuma mengangguk. Lidah saya kelu nak berkata.

"RM25 saja bang."

Selepas dia memasukkan satu persatu kuihnya kedalam plastik, saya hulurkan RM25. Dia mengucapkan terima kasih dan terus berlalu.

Saya perhatikan dia sehingga hilang daripada pandangan. Dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, baru saya terfikir untuk bertanya statusnya. Anak yatimkah? Siapakah wanita berhati mulia yang melahirknya? Terus terang saya katakan, saya beli kuihnya bukan lagi atas dasar kasihan, tetapi kerana rasa kagum dengan sikapnya yang dapat menjadikan kerjayanya satu penghormatan.

Sesungguhnya saya kagum dengan sikap kanak-kanak itu. Dia menyedarkan saya, siapa kita sebenarnya!

Sunday, August 21, 2011

Friday, August 19, 2011

Petua mencari Malam Lailatul Qadar


(Petikan daripada Kitab Jauhar Al-Mauhub -Muka Surat 66 & 67 )

Assalammu'alaikum wbt.

Awal Ramadan tahun ini (1 Ramadan 1432H)  jatuh pada hari Isnin (1-Ogos-2011) maka mengikut;

1. Pendapat pertama (Imam Nawawi) – malam Lailatul Qadar insya'Allah akan jatuh pada malam yang ke-29 (hari Ahad, 28-Ogos-2011 malam Isnin)

2. Pendapat kedua (Sheikh Wahab) - malam Lailatul Qadar insya'Allah jatuh pada malam yang ke-21 (hari Sabtu, 20-Ogos-2011 malam Ahad)

Berikut adalah petikan dari kitab yang tersebut di atas (lampiran adalah dari kitab asal);

Dan adalah malam Lailatul Qadar itu pada Imam Syafie Radiyallahu’anhu tersimpan ia di dalam sepuluh malam yang akhir daripada bulan Ramadan tetapi pada malam “gasal” (ganjil) itu terlebih harap akan dia dan terlebih diharap daripada segala malam yang “gasal” (ganjil) itu malam yang dua puluh satu dan malam yang dua puluh tiga.

Dan yang “rajihnya” bahawasanya malam Lailatul Qadar itu melazimi ia akan malam yang tertentu maka tiada terpindah ia daripada seperti barang yang diriwayatkan daripada Abas bahawasanya malam Lailatul Qadar itu malam yang dua puluh tujuh kerana diambil daripada firman Allah ta’ala “Inna annzalnahu filailatul qdr” hingga “Salam mun hi ya” … maka bahawasanya kalimah “ hi ya’ itu dua puluh tujuh daripada segala kalimah surah ini dan iaitu kinayah daripada malam lailatul qadar dan atas perkataan inilah diamalkan pada segala masa, segala negeri dan iaitu mazhab kebbanyakan Ahli al-‘Ilmi.

Dan kata qil; “Bahawasanya malam lailatul qadar itu terpindah ia tiada tetap ia pada malam yang tertentu maka terkadang ia pada dua puluh satu dan terkadang ada ia pada malam dua puluh lima demikianlah dan atas perkataan ini menjalani dua ahli Sufi dan menyata mereka itu akan “dhabit” dan kaedah bagi yang demikian itu dan iaitu;

- jika adalah awal puasa pada hari Jumaat maka malam lailatul qadar malam dua puluh sembilan
- dan jika awal puasa pada hari Sabtu maka itu malam dua puluh satu
- dan jika awal puasa pada hari Ahad maka iaitu malam dua puluh tujuh
- dan jika awal puasa pada hari Isnin maka iaitu malam dua puluh sembilan
- dan jika awal puasa pada hari Selasa maka iaitu malam dua puluh lima
- dan jika awal puasa pada hari Rabu maka iaitu malam dua puluh tujuh
- dan jika awal puasa pada hari Khamis maka malam lailatul qadar malam dua puluh satu

Dan telah memilih Imam Nawawi didalam  Majmu’ dan Fatawa akan qaul dengan berpindah dan katanya di dalam Raudah dan iaitu yang kuat. (Bajuri)

Dan tersebut di dalam Hasyiyah Fathul Wahab, maka;

- jika awal puasa pada hari Ahad atau hari Rabu maka malam lailatul qadar malam dua puluh sembilan
- dan jika awal puasa pada hari Isnin maka iaitu malam dua puluh satu
- dan jika awal puasa hari Selasa atau Jumaat maka iaitu malam dua puluh tujuh
- dan jika awal puasa pada hari Khamis maka iaitu malam dua puluh lima
- dan jika awal puasa hari Sabtu maka iaitu malam dua puluh tiga malam lailatul qadar

Kata Abu Al-Husan: “Dan pada masa sampai aku akan tahun lagi-lagi tiada luput akan daku malam Lailatul Qadar dengan ini kaedah yang tersebut Barmawi dan Qalyubi”


Wallahua'lam

By Darussyifa'
By 

Thursday, August 18, 2011

Siapa Dalang Pusat Tuisyen Cuba Pesong Akidah Umat Islam

Berikut pendedahan yang dibuat adalam Buletin Utama, TV3 pada 18 Ogos 2011. Murid ini antara mangsa mubaligh Kristian yang menerapkan ajaran mereka secara halus terhadap kanak-kanak dalam kelas tuisyen di Jalan Klang Lama. Murid ini turut diajar 10 lagu berunsur Kristian, gagal menghafal lagu dengan baik, pelajar akan didenda dan tidak akan diberikan hadiah.

Murid-murid yang diajar di pusat tuisyen tersebut dalam lingkungan umur enam hingga 14 tahun dari tiga buah sekolah berhampiran iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Setia, SK La Salle, SK St. Teressa dan Sekolah Menengah Kebangsaan Vivekananda.


Tempat tuisyen tersebut mengajar para pelajar menyanyi lagu-lagu Kristian dan dipertontonkan video mengenai Jesus Christ (Nabi Isa) dan kuiz bagi menguji kefahaman mereka. Adakah soalan-soalan kuiz tersebut sama dengan soalan kuiz yang diedar terhadap 12 orang Islam di gereja Damansara Utama Church Centre( DUMC)?

Ini satu kaedah halus yang digunakan oleh mubaligh Kristian terhadap kanak-kanak. Bagaimana pula kaedah mereka untuk orang dewasa? Sudah tentu caranya juga lebih halus untuk mempengaruhi umat Islam. Sewajarnya umat Islam perlu bersatu menyokong semua tindakan penguatkuasaan untuk menghalang umat Islam daripada perangkap-perangkap mubaligh Kristian ini. Bukan pula menuduh JAIS atau pihak yang menghalang umat Islam daripada murtad ini sebagai pihak yang salah. Siapa dalang pusat tuisyen ini? Ianya perlu didedahkan.