Tuesday, October 12, 2010

PEPATAH MELAYU JANGAN DILUPAKAN.

Pepatah Melayu
Maksudnya
Ditelan mati emak, diluahkan mati bapa.
Susah memilih kerana kedua-dua pilihan sama penting.
Gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah.
Orang besar-besar berselisih, rakyat yang menderita.
Guruh tak berbunyi, malang tak berbau.
Kemalangan berlaku tanpa diketahui terlebih dahulu.
Harapkan pagar, pagar makan padi.
Percaya akan orang yang mengkhianati kita.
Kalah jadi abu, menang jadi arang.
Kedua-dua pihak yang berkelahi sama-sama menanggung kerugian tidak kira siapa yang menang atau siapa yang kalah. Kedua-duanya hangus.
Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.
Orang yang pandai akan melakukan kesalahan sesekali. Kalau orang itu pandai melakukan jenayah, sekali jatuh pun cukuplah susah.
Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
Bekerjasama dan saling menolong.
Sehari selembar benang, lama-lama jadi kain.
Sedikit demi sedikit, lama-lama berhasil juga.
Biar putih tulang, jangan putih mata.
Rela mengorbankan nyawa daripada menanggung malu.
Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
Orang yang bercita-cita akan berusaha mencapainya.
Genggam bara api, biar sampai jadi arang.
Bersabar melakukan kerja yang susah sehingga berjaya.
Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.
Kejayaan tidak akan datang begitu sahaja tanpa berusaha.
Takut kerana salah, berani kerana benar.
Berasa takut kerana melakukan kesalahan, sebaliknya jika benar, berasa berani.
Buang yang keruh, ambil yang jernih.
Buang yang jahat, ambil yang baik.
Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.
Lakukan kerja yang baik biarlah ada batasnya tetapi jangan melakukan kejahatan.
Hancur badan dikandung tanah, budi yang baik dikenang juga.
Budi baik dikenang walaupun orangnya sudah mati.
Ikut resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.
Semakin banyak wang/ilmu, orang itu semakin merendahkan diri.
Jika kerbau dipegang pada talinya, jika manusia dipegang pada janjinya.
Janji mesti ditepati.
Kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan.
Menunjukkan kesyukuran atas pemberian kepada kita.
Orang haus diberi air, orang lapar diberi nasi.
Mendapat sesuatu yang diingini.

JANGAN ABAIKAN KESIHATAN DIRI

Kehidupan harian yang sibuk memaksa seseorang bekerja dalam kekanganan masa. Memperlihatkan keadaan ini, hidup kita sekarang semakin sibuk dan kadang-kala kita tidak ada masa untuk menguruskan diri sendiri. Ada ketikanya kita langsung tidak mengendahkan keperluan rehat yang mencukupi untuk diri sendiri. Otak juga perlu berehat seperti kita. Walaupun sibuk dengan kerja, tugasan universiti, dan harian, kita tidak boleh mengabaikan rehat. Rehat yang mencukupi membolehkan kita bertindak lebih proaktif.

Saya mengandaikan diri saya sebagai contoh, akhir-akhir ini saya tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk berehat. Maklumlah terpaksa mengejar 'dateline'. Akibat terlalu memaksa diri untuk menghadap komputer tanpa henti, mata sakit dan kadang-kala saya hilang fokus dalam pembelajaran saya.

Apa yang saya nak tekankan kepada anda semua adalah, jangan terlalu sibuk sehinggakan tiada masa untuk merehatkan minda. Ada pelbagai cara untuk merehatkan minda. Salah satunya adalah mandi dibawah pancuran air. Mandi merupakan salah satu aktiviti yang mampu memulihkan tenaga dan memberikan kesegaran sepanjang hari. Sekiranya terlalu tertekan, cubalah berehat dibawah pancuran air.

Kadang-kala jika kita terlalu memaksa diri untuk bekerja keras, badan kita akan tidak bermaya. Mata merah dan sakit, migrain, darah tinggi dan akan timbul masalah kesihatan diri yang lain seperti penyakit jantung dan sebagainya. Rehat yang mencukupi akan memberikan anda keceriaan sepanjang hari dan membantu anda untuk berfikir untuk mendapatkan idea yang bernas.

Jangan Putus Asa

Setiap orang pasti ada masalah dan sering berhadapan dengan tekanan tidak kira tentang masalah peribadi, keluarga, tekanan tempat kerja dan juga persekitaran. Namun harus diingat bahawa semua itu adalah dugaan dan cabaran yang diberikan kepda kita. Allah itu Maha Agung, Maha berkuasa dan mengetahui apa yang berlaku kepada umatnya. Kita sebagai umatnya yang menghuni dan menumpang di atas muka bumi ini perlu bersabar menerima dugaan yang ditetapkan di atas muka bumi ini.

Walau sesukar mana pun dan sebesar mana pun halangan yang diturunkan kepada kita, ingatlah bahawa Allah itu menyayangi kita. Banyakkan berdoa kepadaNya. Mohon supaya dipermudahkan segala urusan dan dilancarkan segala urusan kerja. Sentiasa bersyukur dengan apa yang kita nikmati sekarang ini kerana tidak semua yang kita miliki akan kekal selamanya.

Bila kita rasa hilang arah tujuan, kembali kepadaNya. Muhasabah kembali tentang apa yang berlaku. Fikirkan secara mendalam tentang apa berlaku. Sekadar renungan dan ingatan daripada saya...

Monday, October 11, 2010

Waja Lancer?















PROTON WAJA BARU 2010 muncul dalam rancangan TV3. PROTON WAJA BARU ini dikenali sebagai P390A dimana rekabentuknya diambil dari Mitsubishi Lancer baru. Kereta PROTON WAJA BARU ini juga terdapat dalam transmisi automatik dan juga manual. Kerjasama antara Proton dan Mitsubishi telah menghasilkan sebuah kereka yang lain daripada yang lain.

Sunday, October 10, 2010

Bahasa Melayu Kian Pudar

Sekadar melontarkan pendapat dan berkongsi pandangan tentang penggunaan Bahasa Melayu sekarang. Jika dilihat secara keseluruhan, penggunaan Bahasa Melayu semakin pudar malah rakyat Malaysia semakin mengagung-agungkan penggunaan Bahasa Inggeris. Memang tidak dinafikan bahawa di zaman moden ini sangat perlu bagi kita untuk mempelajari dan menguasai Bahasa Inggeris kerana ianya bahasa yang digunakan untuk berkomunikasi dengan orang yang pelbagai. Tetapi penggunaan Bahasa Melayu dilihat kurang dipraktikkan. Mengapa dan Kemana hilangnya identiti Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara?

Jika diperhatikan zaman sekarang ini, anak-anak kecil sudah fasih berbahasa Inggeris. Memang tidak salah, bahkan sangat bagus untuk mereka bila dewasa kelak. Akan tetapi, yang menjadi masalahnya adalah, setelah fasih berbahasa Inggeris, mereka ini pula langsung tidak pandai bercakap dalam Bahasa Melayu walhal keluarganya berketurunan Melayu. Kadang-kala mereka ini langsung tidak faham jika ada orang bertutur dengannya dalam Bahasa Melayu. Kenapa hal ini boleh terjadi?

Anak kecil itu tidak bersalah tapi yang mendidik mereka perlu prihatin. Sayangnya jika anak Melayu tidak tahu berbahasa Melayu. Hilanglah identiti Melayu jika perkara ini dibiarkan sahaja. Ibu bapa merupakan orang yang berperanan penting dalam mendidik anak-anak. Didiklah anak-anak kamu mengenali identiti dan budaya Melayu. Yang paling utama, terapkan diri mereka dengan Bahasa ibunda, biarkan mereka mengenali siapa diri mereka yang sebenarnya. Janganlah terlalu mendidik anak-anak dengan budaya 'mat saleh'. Kita tinggal di Malaysia bukannya di luar negara. Boleh sekiranya hendak ajar anak berbahasa Inggeris, tetapi janganlah sampai hilang penguasaan terhadap Bahasa Melayu. Jadikanlah Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua. Utamakan Bahasa melayu.

Akhir kata, sama-samalah kita memartabatkan bahasa ibunda kita iaitu Bahasa Melayu. Jika bukan kita semua siapa lagi? Kita kekalkan warisan dan tradisi Kemelayuan. Jangan biarkan bahasa penjajah menjajah minda dan cara hidup kita. Bahasa Melayu perlu diteruskan akan agar 'tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas'. Hidupkan kembali Bahasa Melayu.

Saturday, October 9, 2010

Bernilainya Setitik Peluh Abah

Kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anak tidak berbelah bahagi. Setiap kemahuan si anak akan dituruti oleh ibu dan ayah. Namun, adakah kita bersyukur dan sedar bahawa betapa sukarnya mereka untuk membesarkan kita sebagai anak. Memang benar syurga itu di bawah tapak kaki ibu tapi bagaimana dengan si ayah? Pernahkah kalian semua berfikir siapa yang bekerja keras untuk menanggung kehidupan seharian kalau bukan ayah.  Mereka lah yang memerah keringat, membanting tulang, berpanas, berhujan semata-mata untuk memberi anak makanan, kemewahan dan keselesaan.

Namun, adakah si anak bersyukur dengan semua itu. Bagi golongan berada mereka mungkin tidak kisah akan perkara ini. tapi bagi golongan yang miskin dan sederhana, setiap hasil yang diperolehi dihargai dengan sepenuhnya. Saya sangat bersyukur dilahirkan dalam golongan miskin. Saya tahu setiap penat dan lelah abah dalam membesarkan keluarga kami. Setiap kali terbayangkan wajah abah yang semakin berusia, dadaku sebak, airmata akan mengalir tiba-tiba kerana terbayangkan keadaan abah yang semakin berusia tapi masih gagah membanting tulang, berjemur di tengah panas bekerja sebagai buruh binaan semata-mata untuk memberi kami sesuap nasi. Setiap upah yang diperolehi digunakan sebaik mungkin untuk menampung tujuh adik yang masih bersekolah. 

Abah seorang yang sabar, tabah dan bekerja keras. Dia tidak pernah berputus asa mencari rezeki membesarkan kami sekeluarga. Abah pernah berpesan:
 "Kamu jangan jadi macam abah, tak ada pelajaran, kerja buruh. Biarlah abah seorang yang susah begini tapi abah nak tengok anak-anak abah berjaya semua, kelak dapat kerja bagus-bagus. Tolong Ma dan adik-adik kalau abah dah tak ada kelak. Kamu biar jadi contoh kepada adik-adik."

Kata-kata abah itu menjadi perangsang buat saya sehingga kini. Bila terkenang kembali peristiwa dulu memang sukar digambarkan. Apa yang saya mahukan tak pernah dapat dan saya tidak sanggup untuk meminta dengan abah kerana saya tahu abah tak mampu untuk menyediakannya. Tidak seperti anak-anak sekarang, jika mahukan sesuatu terus minta dengan mak dan ayah lantas segera disediakan oleh mak dan ayah yang sayangkan anak. Anak-anak sekarang terlalu dimanjakan sehinggakan tidak mampu untuk berdikari sendiri. 

Kami diasuh untuk berdikari, saya tidak berpeluang untuk bermanja dengan ma dan abah. Biarlah adik-adik yang mendapat perhatian lebih kerana mereka masih kecil. Saya terima keadaan ini kerana saya tahu tanggungjawab saya sangat besar dan perlu berkorban untuk keluarga. Walaupun kami susah, abah tidak pernah meminta sedekah, sebaliknya dia akan berusaha sendiri untuk memastikan anak-anaknya mendapat keperluan yang cukup. Kini abah sudah berumur 52 tahun, sampai bila abah mampu teruskan bekerja sebagai buruh untuk tampung lapan ahli keluarga? Kadang-kala, kita teringin sangat hendak tolong abah cari rezeki, tapi apa kerja akan diperolehi sekiranya tiada kelayakan...Zaman sekarang pemegang diploma masih tidak layak untuk memdapat kerja yang bagus, sebab itu la abah berpesan supaya habiskan ijazah. Rasa bersalah timbul kerana terpaksa biarkan abah bersusah payah cari duit untuk tampung kos perbelanjaan di universiti. Dengan azam dan semangat yang dibekalkan, saya teruskan juga menyahut seruan abah.

Wahai rakan-rakan sekalian, mungkin anda tidak pernah merasai kepayahan dan kesulitan yang saya alami tetapi saya menyeru kalian semua supaya menghargai setiap hasil titik peluk ibu dan bapa yang memberikan kemewahan dan keselesaan hidup di rumah yang cantik dan besar. Jangan sia-siakan peluang untuk belajar bersungguh-sungguh. Jangan fikir duit banyak boleh belajar kat luar negara sekiranya gagal. Beringatlah bahawa Allah itu Maha Berkuasa dan Dia mampu menarik balik setiap kemewahan yang diberikan. Sentiasalah bersyukur dengan kemewahan ibu dan ayah berikan.

Tidak semua orang bernasib baik dapat menyambung pelajaran ke universiti. Bagi golongan seperti saya yang kurang berkemampuan, setiap sen yang diberikan oleh mak dan ayah sangat tinggi nilainya. Sekiranya kami gagal, kami tak akan mampu untuk teruskan belajar. Hargailah setiap peluang yang ada dan sentiasa bersyukur dikurniakan rezeki yang halal walaupun sedikit kerana keberkatan itu sangat penting untuk mendapat kesejahteraan hidup suatu hari nanti.