Wednesday, August 4, 2010

MEDIA: ANTARA PERSEPSI DAN REALITI

Sebut sahaja perkataan media, akan terlintas di fikiran kita bahawa media ialah suatu medium atau alat yang digunakan untuk menyampaikan sesuatu maklumat atau informasi. Akan tetapi, media sebenarnya merangkumi bidang yang sangat luas. Secara mudahnya ramai yang beranggapan media itu adalah televisyen, radio, internet, dan surat khabar. Sebenarnya media terbahagi kepada dua iaitu media elektronik dan media cetak. Contoh media elektronik seperti televisyen, radio dan internet manakala media cetak pula merangkumi bidang pencetakan seperti surat khabar, majalah, buku, komik dan sebagainya. Pengaruh media sangat besar pada masa kini kerana semakin pesat teknologi berkembang semakin tinggi permintaan terhadap penggunaan media dalam menyampaikan sesuatu informasi selain dapat meransangkan fikiran, perasaan serta melibatkan daya kreativiti.
Walaubagaimanapun, penggunaan media secara meluas telah menimbulkan pelbagai persepsi dalam kalangan masyarakat termasuk yang baik dan juga yang buruk. Kadang-kala persepsi ini positif yang membina dan ada kalanya yang negatif dan melampaui batasan. Salah satu persepsi baik terhadap media ialah sebagai wadah dalam penyampaian ilmu dan maklumat. Televisyen contohnya menjadi peneraju utama dalam penyampaian maklumat dengan memaparkan berita-berita terkini dalam dan juga luar negara. Masyarakat moden sekarang mengejar masa dan kadang-kala tidak mempunyai masa yang cukup untuk mengadap dan membelek surat khabar untuk mengetahui isu dan berita terkini yang berlaku dalam mahupun luar negara. Oleh yang demikian dengan adanya televisyen mereka hanya perlu menekan butang ‘on’ di alat kawalan jauh dan kemudian bebas untuk memilih saluran berita yang mereka mahukan samada TV1, TV2, TV3, TV7, TV8, TV9 dan juga saluran ASTRO.
Manakala persepsi negatif atau buruk terhadap media pula timbul apabila berlakunya keruntuhan moral dan akhlak dalam kalangan masyarakat kita sekarang. Apabila terjadinya hal sedemikian, ramai yang akan menuding jari kepada media dan menyalahkan media kerana memberikan tauladan yang buruk kepada masyarakat. Sebagai contohnya, ada segelintir ibu dapa yang marah dan menyalahkan media kerana merosakkan pemikiran anak-anak mereka melalui rancangan-rancangan kartun yang disiarkan di kaca televisyen. Selain itu juga, mereka beranggapan media lain seperti internet melalaikan dan banyak terdedah kepada perkara-perkara yang tidak senonoh seperti seks bebas, fesyen yang menjolok mata, dan tidak kurang juga yang menganggap media sebagai bahan untuk provokasi.
Memang tidak dinafikan, masyarakat mempunyai pelbagai persepsi dan pandangan yang tersendiri terhadap media. akan tetapi penggunaan media sangat penting seiring dengan pembangunan negara kerana tanpa media, tiadanya pembangunan. Teknologi mesti bergerak seiring dengan arus permodenan tidak kira baik atau buruknya persepsi masyarakat terhadap media. Realitinya adalah, semuanya terpulang kepada individu atau masyarakat itu masing-masing untuk menafsirkan media, yang penting individu atau masyarakat itu sebenarnya yang menentukan baik atau buruk media. Jika mereka pandai mengguna dan mengaplikasikan media maka baiklah faedah yang mereka perolehi. Sebaliknya. Jika mereka menyalahgunakan media kea rah keburukan makan buruklah kesan yang mereka dapat.
Pendek kata media itu juga sebenarnya diibaratkan sebagai kain putih. Pengguna yang mencorakkannya bagaimana cara penggunaannya. Realiti yang perlu kita semua perlu sedari adalah media itu boleh mendatangkan kebaikan dan keburukan tetapi yang penting kita sebagai pengguna media perlu bijak memilih saluran yang betul dan memanfaatkanya sebaik mungkin peluang yang ada bagi memperolehi ilmu yang bermanfaat.

No comments:

Post a Comment