Sunday, October 10, 2010

Bahasa Melayu Kian Pudar

Sekadar melontarkan pendapat dan berkongsi pandangan tentang penggunaan Bahasa Melayu sekarang. Jika dilihat secara keseluruhan, penggunaan Bahasa Melayu semakin pudar malah rakyat Malaysia semakin mengagung-agungkan penggunaan Bahasa Inggeris. Memang tidak dinafikan bahawa di zaman moden ini sangat perlu bagi kita untuk mempelajari dan menguasai Bahasa Inggeris kerana ianya bahasa yang digunakan untuk berkomunikasi dengan orang yang pelbagai. Tetapi penggunaan Bahasa Melayu dilihat kurang dipraktikkan. Mengapa dan Kemana hilangnya identiti Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara?

Jika diperhatikan zaman sekarang ini, anak-anak kecil sudah fasih berbahasa Inggeris. Memang tidak salah, bahkan sangat bagus untuk mereka bila dewasa kelak. Akan tetapi, yang menjadi masalahnya adalah, setelah fasih berbahasa Inggeris, mereka ini pula langsung tidak pandai bercakap dalam Bahasa Melayu walhal keluarganya berketurunan Melayu. Kadang-kala mereka ini langsung tidak faham jika ada orang bertutur dengannya dalam Bahasa Melayu. Kenapa hal ini boleh terjadi?

Anak kecil itu tidak bersalah tapi yang mendidik mereka perlu prihatin. Sayangnya jika anak Melayu tidak tahu berbahasa Melayu. Hilanglah identiti Melayu jika perkara ini dibiarkan sahaja. Ibu bapa merupakan orang yang berperanan penting dalam mendidik anak-anak. Didiklah anak-anak kamu mengenali identiti dan budaya Melayu. Yang paling utama, terapkan diri mereka dengan Bahasa ibunda, biarkan mereka mengenali siapa diri mereka yang sebenarnya. Janganlah terlalu mendidik anak-anak dengan budaya 'mat saleh'. Kita tinggal di Malaysia bukannya di luar negara. Boleh sekiranya hendak ajar anak berbahasa Inggeris, tetapi janganlah sampai hilang penguasaan terhadap Bahasa Melayu. Jadikanlah Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua. Utamakan Bahasa melayu.

Akhir kata, sama-samalah kita memartabatkan bahasa ibunda kita iaitu Bahasa Melayu. Jika bukan kita semua siapa lagi? Kita kekalkan warisan dan tradisi Kemelayuan. Jangan biarkan bahasa penjajah menjajah minda dan cara hidup kita. Bahasa Melayu perlu diteruskan akan agar 'tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas'. Hidupkan kembali Bahasa Melayu.

No comments:

Post a Comment