Saturday, October 9, 2010

Bernilainya Setitik Peluh Abah

Kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anak tidak berbelah bahagi. Setiap kemahuan si anak akan dituruti oleh ibu dan ayah. Namun, adakah kita bersyukur dan sedar bahawa betapa sukarnya mereka untuk membesarkan kita sebagai anak. Memang benar syurga itu di bawah tapak kaki ibu tapi bagaimana dengan si ayah? Pernahkah kalian semua berfikir siapa yang bekerja keras untuk menanggung kehidupan seharian kalau bukan ayah.  Mereka lah yang memerah keringat, membanting tulang, berpanas, berhujan semata-mata untuk memberi anak makanan, kemewahan dan keselesaan.

Namun, adakah si anak bersyukur dengan semua itu. Bagi golongan berada mereka mungkin tidak kisah akan perkara ini. tapi bagi golongan yang miskin dan sederhana, setiap hasil yang diperolehi dihargai dengan sepenuhnya. Saya sangat bersyukur dilahirkan dalam golongan miskin. Saya tahu setiap penat dan lelah abah dalam membesarkan keluarga kami. Setiap kali terbayangkan wajah abah yang semakin berusia, dadaku sebak, airmata akan mengalir tiba-tiba kerana terbayangkan keadaan abah yang semakin berusia tapi masih gagah membanting tulang, berjemur di tengah panas bekerja sebagai buruh binaan semata-mata untuk memberi kami sesuap nasi. Setiap upah yang diperolehi digunakan sebaik mungkin untuk menampung tujuh adik yang masih bersekolah. 

Abah seorang yang sabar, tabah dan bekerja keras. Dia tidak pernah berputus asa mencari rezeki membesarkan kami sekeluarga. Abah pernah berpesan:
 "Kamu jangan jadi macam abah, tak ada pelajaran, kerja buruh. Biarlah abah seorang yang susah begini tapi abah nak tengok anak-anak abah berjaya semua, kelak dapat kerja bagus-bagus. Tolong Ma dan adik-adik kalau abah dah tak ada kelak. Kamu biar jadi contoh kepada adik-adik."

Kata-kata abah itu menjadi perangsang buat saya sehingga kini. Bila terkenang kembali peristiwa dulu memang sukar digambarkan. Apa yang saya mahukan tak pernah dapat dan saya tidak sanggup untuk meminta dengan abah kerana saya tahu abah tak mampu untuk menyediakannya. Tidak seperti anak-anak sekarang, jika mahukan sesuatu terus minta dengan mak dan ayah lantas segera disediakan oleh mak dan ayah yang sayangkan anak. Anak-anak sekarang terlalu dimanjakan sehinggakan tidak mampu untuk berdikari sendiri. 

Kami diasuh untuk berdikari, saya tidak berpeluang untuk bermanja dengan ma dan abah. Biarlah adik-adik yang mendapat perhatian lebih kerana mereka masih kecil. Saya terima keadaan ini kerana saya tahu tanggungjawab saya sangat besar dan perlu berkorban untuk keluarga. Walaupun kami susah, abah tidak pernah meminta sedekah, sebaliknya dia akan berusaha sendiri untuk memastikan anak-anaknya mendapat keperluan yang cukup. Kini abah sudah berumur 52 tahun, sampai bila abah mampu teruskan bekerja sebagai buruh untuk tampung lapan ahli keluarga? Kadang-kala, kita teringin sangat hendak tolong abah cari rezeki, tapi apa kerja akan diperolehi sekiranya tiada kelayakan...Zaman sekarang pemegang diploma masih tidak layak untuk memdapat kerja yang bagus, sebab itu la abah berpesan supaya habiskan ijazah. Rasa bersalah timbul kerana terpaksa biarkan abah bersusah payah cari duit untuk tampung kos perbelanjaan di universiti. Dengan azam dan semangat yang dibekalkan, saya teruskan juga menyahut seruan abah.

Wahai rakan-rakan sekalian, mungkin anda tidak pernah merasai kepayahan dan kesulitan yang saya alami tetapi saya menyeru kalian semua supaya menghargai setiap hasil titik peluk ibu dan bapa yang memberikan kemewahan dan keselesaan hidup di rumah yang cantik dan besar. Jangan sia-siakan peluang untuk belajar bersungguh-sungguh. Jangan fikir duit banyak boleh belajar kat luar negara sekiranya gagal. Beringatlah bahawa Allah itu Maha Berkuasa dan Dia mampu menarik balik setiap kemewahan yang diberikan. Sentiasalah bersyukur dengan kemewahan ibu dan ayah berikan.

Tidak semua orang bernasib baik dapat menyambung pelajaran ke universiti. Bagi golongan seperti saya yang kurang berkemampuan, setiap sen yang diberikan oleh mak dan ayah sangat tinggi nilainya. Sekiranya kami gagal, kami tak akan mampu untuk teruskan belajar. Hargailah setiap peluang yang ada dan sentiasa bersyukur dikurniakan rezeki yang halal walaupun sedikit kerana keberkatan itu sangat penting untuk mendapat kesejahteraan hidup suatu hari nanti.

No comments:

Post a Comment